BUTTERWORTH: Seorang Pengarah Yayasan Kemajuan India Wilayah Persekutuan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini, atas 11 pertuduhan menyalahgunakan harta yayasan berjumlah RM86,000, tahun lalu.
Tertuduh, M. Govindarajoo, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara curang menyalahgunakan harta iaitu wang berjumlah RM86,000 kepunyaan yayasan itu di Maybank Berhad cawangan Taman Inderawasih, Seberang Perai Tengah (SPT), dekat sini pada 25 dan 26 Ogos 2021.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan sehingga lima tahun atau sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, Govindarajoo mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan pilihan melibatkan kesalahan yang dilakukan di tarikh, tempat dan masa yang sama.
Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Afif Ali menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dengan syarat tambahan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.
Bagaimanapun, Govindarajoo yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan dikurangkan memandangkan dia yang bekerja sebagai konsultan tidak mempunyai pendapatan tetap dan dua daripada tiga anaknya masih menuntut di universiti.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM22,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 1 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN