KOTA BHARU : Seorang penganggur dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 89.8 gram di Wakaf Bharu, Tumpat enam tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas menetapkan hukuman itu terhadap Mohd. Hafizul Che Mohd. Zahid, 30, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pembelaan.
Mohamad Abazafree dalam penghakimannya berkata, tertuduh memberikan keterangan yang berbeza dengan hujah pihak pendakwaan.
“Mahkamah menganggap tertuduh sengaja mereka cerita dan memberi keterangan yang meragukan.
“Oleh itu, tertuduh didapati bersalah, malah, turut disabitkan dengan pertuduhan tersebut dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati,”katanya.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Hafizul didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 89.8 gram di hadapan sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Pasir Pekan Hilir, Wakaf Bharu dekat Tumpat kira-kira pukul 4.20 petang pada 22 September 2016.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Arshad manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Ridhuwan Ismail.
Terdahulu, Norazlinawati meminta mahkamah menetapkan hukuman setimpal terhadap kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh memandangkan kes dadah semakin berleluasa.
Menurutnya, mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam dan hukuman tersebut mampu memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Sementara itu, Mohd. Ridhuwan memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh sudah ditahan selama enam tahun sejak berusia 24 tahun.
“Tertuduh juga tidak pernah mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah sebelum ini selain memberi kerjasama yang baik sepanjang kes perbicaraan berlangsung,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman gantung sampai mati kepada tertuduh. –UTUSAN ONLINE