Pengamal perubatan didakwa bunuh wanita - Utusan Malaysia

Pengamal perubatan didakwa bunuh wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengamal perubatan tradisional didakwa di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang mendapatkan rawatan di rumahnya, akhir bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Che Hong Chiew, 51, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Amalina Basirah Md. Top.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh memperuntukkan hukuman gantung sampai mati yang mana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Hong Chiew didakwa membunuh Lim Sin Lue, 41, di ruang tamu sebuah rumah di Jalan Perdana 2/20, Pandan Perdana di sini antara pukul 4.45 petang dan pukul 5 petang pada 27 Julai lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan terhadap wanita tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendawa Raya Annur Athirah Amran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada ikat jamin diberikan dan mahkamah kemudian menetapkan 13 Oktober ini untuk sebutan kes.

Pada 28 Julai lalu, media melaporkan seorang wanita meninggal dunia di ruang tamu kediaman pengamal perubatan tradisional di Pandan Perdana dipercayai ketika mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, polis menerima laporan daripada ibu mangsa kira-kira pukul 6.35 petang memaklumkan anaknya meninggal dunia.

Menurut polis, mangsa yang merupakan wanita berusia 41 tahun itu telah pergi ke rumah suspek untuk mendapatkan rawatan sejak minggu lepas sebelum mangsa ditemui meninggal dunia.

“Mangsa kemudian ditemui dalam keadaan terbaring serta tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah terbabit sebelum disahkan mati di lokasi kejadian,” kata polis.

Menurut Farouk, susulan itu polis telah menahan seorang wanita berusia 51 tahun yang merupakan pengamal perubatan tradisional di tempat kejadian pada hari sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya