Penduduk Taman Kerjasama lega, pemaju sedia selesai masalah

Penduduk Taman Kerjasama lega, pemaju sedia selesai masalah

KERK Chee Yee (duduk, tengah) menunjukkan cadangan sistem perparitan oleh pemaju kepada pemberita dalam sidang akhbar di Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penduduk Taman Kerjasama di Bukit Beruang di sini lega selepas pemaju sebuah projek komersial berhampiran kawasan perumahan itu bersetuju untuk menyelesaikan masalah yang dibangkitkan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kerjasama, Wee Seng Siang berkata, pihaknya mengambil masa lebih sebulan berbincang dengan pemaju berhubung keluhan dan kebimbangan para penduduk sekiranya projek tersebut dilaksanakan.

Jelasnya, projek komersial yang akan dibangunkan di tanah lapang berhampiran stesen minyak Petronas Bukit Beruang itu dikhuatiri akan menyebabkan masalah banjir dan kesesakan lalu lintas.

“Penduduk taman ini bimbang masalah banjir dan kesesakan lalu lintas menjadi semakin buruk selepas projek ini berjalan. Banjir kerap berlaku di kawasan ini ketika hujan lebat manakala aliran trafik adalah tinggi pada waktu pagi, tengah hari dan petang.

“Setelah berbincang pemaju bersetuju untuk menyelesaikan masalah yang dibangkitkan penduduk. Pemaju akan membina longkang dari tapak projek ke kawasan saliran yang lebih besar menuju ke tempat tadahan dan seterusnya mengalir ke Sungai Putat. 

“Mereka juga akan berbincang bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bagi melihat mekanisme paling sesuai menangani isu lalu lintas. Selain itu, pemaju akan membuat satu lagi laluan keluar di sebelah kiri menghala ke arah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka,” katanya dalam sidang akhbar wakil penduduk bersama pemaju di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dan wakil pemaju, Choon Kean Nang.

Tambah Seng Siang, pemaju juga bersetuju untuk menyediakan satu tapak rekreasi di kawasan perumahan ini sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Katanya, susulan itu, pihaknya akan terus memantau pembinaan dan perjalanan projek ini dari awal hingga siap. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya