SUNGAI SIPUT: Penduduk Orang Asli di Kampung Satut, Pos Perwor dekat sini kini dibelenggu kebimbangan apabila kawanan gajah liar menceroboh masuk ke kampung mereka baru-baru ini dan merosakkan beberapa buah rumah.
Tinjauan di kampung yang dihuni 140 penduduk itu mendapati, empat buah rumah rosak selain dewan manakala tanaman pisang pula musnah akibat ‘serangan’ haiwan itu untuk mencari makanan.
Seorang penduduk, Tinah Pandak, 50, berkata, kejadian itu disedari awal pagi Isnin sekitar pukul 1 pagi apabila dia dikejutkan jeritan jiran terdapat gajah di luar rumahnya.
Katanya, dia yang ketika itu sedang tidur segera mengejutkan ahli keluarga lain dan mereka berlari ke surau untuk menyelamatkan diri.
“Ketika itu saya tidak fikir apa-apa, hanya mahu segera keluar kerana bunyi gajah itu terlalu hampir, betul-betul di tepi rumah. Saya tidak nampak berapa ekor gajah yang ada kerana keadaan gelap tapi apa yang diberitahu jiran, ada seekor gajah besar di tepi rumah manakala anaknya pula masuk ke dalam melalui pintu belakang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Menurutnya, serangan gajah itu bukan sahaja menyebabkan pintu dan dinding rumahnya rosak malah barang-barang dapur juga bertaburan di atas lantai dan luar rumah.
“Gajah itu mungkin masuk ke dalam rumah untuk cari makanan, sebab itu, habis almari dan barang-barang dapur pun diterbalikkan dan pecah. Sekarang kami menumpang tidur di surau. Tidak berani lagi tinggal di rumah kerana pintu pun belum dibaiki, hanya guna papan lama untuk tutup,” katanya.
Sementara itu, Nasir Busu, 47, berkata, dia menyedari kehadiran haiwan itu selepas mendengar bunyi aneh termasuk bunyi kayu patah dan buluh dipijak.
Katanya, selepas menyedari bunyi itu datang daripada kawanan gajah, dia dan isteri segera keluar dan menumpang tidur di rumah saudaranya di Kampung Talang.
“Ada satu malam, saya tidak sedar langsung ada seekor gajah di luar rumah. Selepas terdengar bunyi pelik, saya intai di celah dinding dan terkejut apabila lihat haiwan itu betul-betul di tepi rumah. Saiznya sangat besar dan menakutkan, saya dan isteri hanya mendiamkan diri, tidak tahu mahu buat apa. Mujur juga gajah itu tidak merosakkan rumah kami,” katanya.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Satut, Jamil Itam, 54, memberitahu, kehadiran haiwan tersebut di kampung berkenaan dipercayai berpunca berikutan habitat mereka diganggu ekoran penerokaan hutan untuk penanaman durian, getah dan balak.
Katanya, aduan berkaitan perkara itu telah pun dibuat kepada pihak berwajib termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi tindakan lanjut.
“Orang lelaki di kampung ini telah beberapa malam berkawal kerana kami bimbang gajah itu akan masuk lagi dan ceroboh rumah penduduk. Sekarang ini, penduduk pun tidak berani masuk ke dalam hutan sebab takut terserempak dengan gajah tetapi terpaksa juga masuk bagi mencari hasil hutan yang merupakan punca utama pencarian mereka,” katanya. – UTUSAN