KUANTAN: Penduduk Perumahan Makmur Hijrah Jaya di sini bimbang apabila runtuhan tebing longkang besar di kawasan itu menyebabkan hakisannya semakin membesar.
Runtuhan seluas 20 meter lebar itu semakin meresahkan kira-kira 300 keluarga di kawasan tersebut terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini.
Keadaan itu membahayakan apatah lagi kanak-kanak didapati sering bermain di kawasan tersebut pada waktu petang yang hanya terletak kira-kira 50 meter dari kediaman penduduk.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk, Ahmad Muzafar Jusoh, 46, berkata, runtuhan dan hakisan berlaku pada penghujung tahun lalu sekali gus memusnahkan longkang utama di taman perumahan tersebut.
Menurutnya , daripada runtuhan kecil, ia kini semakin besar sehingga seluas 20 meter lebar ketika ini.
“Ekoran runtuhan yang berlaku, longkang utama di sini musnah sekali gus mengundang resah penduduk kerana saliran air utama di sini telah rosak.
“Kita bimbang air akan meningkat ketika banjir dan mengganggu saliran air dari perumahan ke sungai.
“Kesannya, air boleh melimpah atas jalan dan masuk ke kawasan rumah penduduk terutama rumah saya yang tidak jauh dari lokasi runtuhan dan longkang utama,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad Muzafar berkata, aduan telah dibuat kepada pihak berwajib namun ia seolah-olah dipandang sepi tanpa penyelesaian.
“Sekarang sudah bulan Ogos, tidak lama lagi musim tengkujuh. Jika dibiarkan, runtuhan pasti akan terus melebar dan menyebabkan saliran air di taman ini tersumbat, “ ujarnya.- UTUSAN