Penceramah didakwa ugut, cederakan wanita

Penceramah didakwa ugut, cederakan wanita

KENDERAAN yang dipercayai membawa Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu selepas didakwa atas pertuduhan menyebabkan kecederaan dan mengugut seorang wanita di Mahkamah Majistret Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang penceramah bebas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan dan mengugut seorang wanita dalam kejadian bulan lalu.

Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhasliza Md. Ali.

Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Zamri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif One Center Malaysia Perlis didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada wanita berusia 38 tahun itu.

Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Jalan Melati Indah, Beseri di sini pada pukul 5 petang 14 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali. 

Berdasarkan pertuduhan kedua, Muhammad Zamri didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut untuk membunuh.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail manakala Muhammad Zamri diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman.

Mahkamah membenarkan Muhammad Zamri diikat jamin RM6,000 bagi dua pertuduhan itu dengan seorang penjamin dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan. Tarikh sebutan semula kes berkenaan adalah 23 Ogos ini. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya