KOTA BHARU : Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan membentangkan hasil kajian penuh berhubung kejadian kepala air di Kampung Iboi dekat Baling sehingga mengorbankan tiga nyawa, esok.
Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kajian berhubung kejadian yang berlaku pada awal bulan lalu itu turut melibatkan beberapa kementerian lain dan kerajaan negeri Kedah.
Beliau difahamkan hasil siasatan berhubung kejadian itu telah siap seperti yang dijanjikan iaitu sebelum 4 Ogos.
“Jadi, saya akan diberi taklimat akhir mengenai hasil kajian itu pada pukul 3 petang ini. Mungkin hari ini atau esok saya akan umumkan hasil daripada siasatan itu.
“Saya juga dimaklumkan banjir masih lagi berlaku di Baling hari ini. Keadaan terkini itu sedang dipantau oleh kerajaan dan Kerajaan Negeri Kedah,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Peringkat Sekolah Tahun 2022 di Sekolah Kebangsaan Islah di sini hari ini.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/takiyuddin-hassan-600x397.jpg)
Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, kerajaan sentiasa komited untuk menyelesaikan masalah banjir yang berlaku di beberapa kawasan di seluruh negara. – UTUSAN