PETALING JAYA: Seorang pelajar tingkatan satu ditahan polis selepas dia dan rakannya disyaki terlibat mencuri tabung di sebuah surau di Taman Keramat Permai, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu disedari jemaah surau berusia 68 tahun apabila melihat tabung itu tertanggal dari kedudukan asal di bahagian ruangan solat wanita pada pukul 6 pagi, 28 Julai lalu.
Katanya, jumlah kerugian dialami sebanyak RM30 dan dia kemudian tampil membuat laporan polis.
“Susulan itu pada pukul 10.10 malam tadi, sepasukan polis menahan dua lelaki berusia 13 tahun dan 21 tahun di tepi Jalan 6/10, Tasek Tambahan.
“Suspek pertama masih bersekolah di Sri Kembangan Selangor manakala seorang lagi suspek tidak bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Farouk, turut dirampas sebuah motosikal Yamaha Lagenda dipercayai digunakan di tempat kejadian yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Jelasnya, modus operandi suspek adalah menyasarkan tabung duit derma dalam surau.
“Tahanan reman terhadap suspek dibuat pada hari ini di Mahkamah Ampang dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.- UTUSAN