Pelajar albino, rabun raih 5A STPM - Utusan Malaysia

Pelajar albino, rabun raih 5A STPM

NIKI Amirul Zimi menunjukan keputusan cemerlang dalam STPM yang berjaya diraihnya semasa ditemui di SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas, Kelantan hari ini. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Mendengar dengan penuh teliti setiap patah kata yang dituturkan oleh guru semasa mengikuti sesi pembelajaran di dalam kelas menjadi ‘rahsia’ Niki Amirul Zimi, 20, pelajar albino dan rabun meraih keputusan 5A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 yang diumumkan hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja itu turut menerima anugerah pelajar terbaik kategori calon berkeperluan khas (CBK) peringkat kebangsaan apabila meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.92 selepas memperoleh 3A bagi subjek Pengajian Am, Ekonomi dan Geografi manakala 2A- bagi subjek Bahasa Melayu dan Sejarah.

Berkongsi rahsia kejayaan, anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, disebabkan masalah penglihatan dia bergantung sepenuhnya dengan mendengar setiap patah kata yang dilontarkan oleh guru semasa berada di dalam kelas.

“Apa yang ditulis cikgu di papan hitam saya langsung tak nampak walaupun tempat di hadapan, jadi saya hanya mendengar. Saya rabun sejak lahir, jadi ia memang menjadi cabaran besar kepada saya kerana perlu meletakkan buku rapat di muka setiap kali belajar atau mengulang kaji pelajaran.

“Walau bagaimanapun, saya cukup bertuah apabila bapa (Zimi Mamat, 60), ibu (Suemoh Dollah, 46), guru-guru dan rakan yang banyak membantu semasa mengulang kaji pelajaran. Kesemua mereka ini adalah tunggak di sebalik kejayaan yang dirakam pada hari ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Niki Amirul memberitahu, sepanjang mengambil peperiksaan itu dia terpaksa menggunakan kertas soalan bersaiz besar memandangkan matanya rabun.

Katanya, kejayaan cemerlang dalam STPM ini mahu dihadiahkan kepada kedua ibu bapanya sebagai tanda terima kasih di atas pengorbanan yang telah dicurahkan kepadanya sebelum ini.

“Kejayaan STPM ini juga sebagai pengubat kegagalan untuk diri saya sendiri kerana tidak berjaya menghabiskan pengajian di Matrikulasi Kok Lanas disebabkan masalah kulit. Ekoran itu, saya mengambil keputusan untuk belajar di tingkatan enam,” jelasnya.

Niki Amirul merupakan anak seorang peniaga kedai runcit di Kampung Jeram Perdah, Rantau Panjang bercita-cita mahu menjadi seorang guru dan ingin melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya