PUTRAJAYA: Peguam kepada Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan bahawa beliau menarik diri daripada mewakili bekas Perdana Menteri itu berhubung rayuan sabit dan hukuman kes penyelewengan SRC.
Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada mulanya menolak permintaan peguam dan mengarahkannya meneruskan kes, namun Hisyam menegaskan bahawa beliau tidak bersedia dan sekali lagi memohon penangguhan.
Bagaimanapun permohonan penangguhan itu tidak dibenarkan mahkamah.
Hisyam sekali lagi mengulangi memaklumkan bahawa beliau tidak bersedia sekali gus tidak dapat mewakili Najib dalam rayuan itu dan ingin menarik.
Beliau menyerahkan kepada mahkamah sama ada ingin meneruskan prosiding rayuan itu tanpa kehadiran beliau.
Najib turut diwakili peguam bela yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat, Rueben Mathiavaranam dan Hannah Kam Zhen Yi.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut menjatuhkan hukuman namun membenarkan permohonan peguam agar ia ditangguhkan sementara menunggu rayuan.
Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib dan mengekalkan sabitan ke atasnya.
Ketika pentadbirannya sebagai Perdana Menteri, Najib yang juga Menteri Kewangan, pernah menjadi Penasihat Emeritus SRC dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB. – UTUSAN