PASIR PUTEH: Kerajaan negeri mengumumkan nama Bandar Pasir Puteh Sentral, di sini, yang beroperasi sejak empat tahun lalu ditukar kepada Bandar Tok Janggut secara rasmi sempena sambutan bulan kemerdekaan negara hujung bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Mejar (B) Datuk Md. Anizam Abdul Rahman berkata, pertukaran nama sebagai simbolik mengekalkan ingatan terhadap perjuangan Tok Janggut atau nama sebenarnya Hassan Munah yang menentang penjajah.
“Bandar itu kini sudah pun dikenali dengan nama Bandar Tok Janggut. Pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memasang tugu nama sebagai monumen sejarah untuk diketahui generasi baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pelancaran Bulan Kesenian dan Kebudayaan Peringkat Parlimen Pasir Puteh, di sini hari ini.
Md. Anizam memberitahu, kerajaan bersetuju dengan pertukaran nama tersebut dan ia mampu membawa perubahan positif dalam mengekalkan identiti pahlawan tempatan.
Katanya, usaha itu secara tidak langsung mampu menarik lebih pelancong sekiranya monumen dan bahan sejarah berkait Tok Janggut dibina di kawasan tersebut. – UTUSAN