BAGAN SERAI: Pas lebih layak bertanding di Parlimen Bagan Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berbanding komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN).
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, ini kerana Bagan Serai merupakan kubu Pas malah Pas menang kerusi Parlimen pertamanya di Parlimen Kerian Kecil sebelum dipecahkan kepada Parlimen Bagan Serai dan Parit Buntar pada pilihan raya umum 1951.
Katanya, jika Pas tidak bertanding di kerusi itu pada PRU15, seolah-olah Pas tidak bertanding di Kelantan dan Terengganu.
“Malah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberitahu walaupun Pas bekerjasama dengan parti mana sekalipun pada PRU15, Parlimen Bagan Serai akan ditandingi calon Pas.
“Penyokong Pas di Bagan Serai juga memberi sokongan penuh agar kerusi ini perlu ditandingi calon Pas mewakili PN. Bagaimanapun, Pas Pusat dan pucuk pimpinan PN akan memuktamadkan perkara ini, apa yang kita fikirkan ialah untuk meletakkan calon yang berwibawa dan boleh meraih kemenangan di sini,” katanya kepada pemberita pada penyerahan sumbangan Kasih Suri Keluarga Malaysia di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini semalam.
Kerusi Parlimen Bagan Serai disandang Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari UMNO.
Sebelum ini, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal juga dikatakan mahu bertanding di Parlimen Bagan Serai.
Mengenai kerjasama Pas dan UMNO peringkat negeri pada PRU15, Razman berkata, hubungan dua parti itu tetap baik walaupun terdapat kenyataan secara jelas daripada pemimpin UMNO parti itu mahu bergerak secara solo dalam PRU15.
Katanya, Pas Perak tetap menggunakan pendekatan demi perpaduan ummah bagi menjaga kestabilan dan keamanan negeri.
“Pas masih mahukan agar UMNO bersama -sama menjalinkan kerjasama dalam satu penyatuan untuk menghadapi PRU15. Kerjasama dua parti itu bukan untuk kepentingan Pas bagi menghalang Pakatan Harapan (PH) daripada berkuasa semula. Jika PH berkuasa semula, tidak mustahil pengalaman selama 22 bulan ketika mereka menjadi kerajaan dahulu akan kembali berulang,” katanya. – UTUSAN