Panglima Muda Jempol pertama tentang Inggeris di Pahang

Panglima Muda Jempol pertama tentang Inggeris di Pahang

DR JAMALUDDIN Abd. Rahim menunjukkan geran tanah moyangnya, Yang Jengka isteri kepada Panglima Muda Jempol pahlawan awal menentang penjajahan Inggeris di Pahang. - UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Panglima Muda Jempol yang juga dikenali Panglima Muda Lok adalah orang pertama dalam sejarah Pahang menentang campur tangan Inggeris sekitar 1890.

Penentangan Tok Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau bermula dua tahun selepas kematian Panglima Muda Jempol pada 1892 apabila Inggeris mula menguatkuasakan kutipan cukai di kawasan pentadbiran yang sebelum ini di bawah kuasa pembesar Melayu.

Panglima Muda Jempol diberi kuasa Istana menjaga Chenor, Lubuk Paku sehingga ke sempadan Chini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang waris Panglima Muda Jempol, Dr. Jamaluddin Abd. Rahim, 55, berkata, nama sebenar Panglima Muda Jempol adalah Samsu Mansu yang merupakan seorang cukup tegas menentang campur tangan Inggeris mengutip hasil mahsul di negeri ini untuk dibawa balik ke England.

“Kebimbangan dan kecurigaan Panglima Muda Jempol tentang tujuan sebenar penjajah terbukti apabila kuasa mengutip cukai di kawasan anugerah Istana diambil alih Inggeris.

“Kerakusan Inggeris inilah menyebabkan pahlawan lain seperti Tok Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau bangkit kemudian selepas kematian Panglima Muda Jempol,” katanya di sini semalam.

Dr. Jamaluddin berkata, kisah sedih ini sentiasa bermain di bibir susur galur Panglima Muda Jempol daripada keturunan Tok Raja Hulubalang Ali, pembesar istana yang mendiami Kampung Jengka Batu 13, sejak 300 tahun.

Beliau berkata, Inggeris bertindak pantas membunuh Panglima Muda Jempol sekitar 1892 di kawasan Paya Mengkuang bagi mengekang semangat perjuangan orang Melayu.

Bagaimanapun, ujarnya, semangat itu diteruskan oleh pahlawan Melayu Pahang dua tahun kemudian seperti Mat Kilau yang tidak mahu bersekongkol dengan penjajah.

Tambah beliau, Panglima Muda Jempol berkahwin dengan wanita tempatan yang dikenali Yang Jengka atau Yang Bador Sulong.

“Yang Jengka bersama seorang anak lelaki menjadi saksi utama pembunuhan Panglima Muda Jempol menggunakan peluru emas di rumah persembunyiannya di Paya Mengkuang,” katanya.

Menurutnya, makam Panglima Muda Jempol dipercayai ditemukan di ladang kelapa sawit sempadan rancangan Felda Jengka 4 dan Jengka 5 berdekatan Sungai Jempol.

Beliau dalam pada itu berkata, setelah negeri ini aman, Yang Jengka diberikan anugerah sebidang tanah seluas kira-kira tiga hektar di Paya Mengkuang pada 15 Disember 1925.

Dr. Jamaluddin turut berbangga kerana nama Jengka diambil dari nama moyangnya Yang Jengka seorang srikandi pejuang Melayu pada awal penjajahan Inggeris.

“Walaupun ada beberapa versi nama Jengka diperoleh termasuk nama wanita Orang Asli tetapi Yang Jengka individu yang tinggal di sekitar Sungai Jengka lebih munasabah.

“Allahyarham Tun Razak apabila membuka rancangan Felda di Gugusan Chenor juga telah memilih Jengka sebagai nama utama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya