ALOR SETAR: Penganjur Minggu Fesyen Kedah 2022 (KFW22), Aman Central memohon maaf ekoran penularan gambar seorang individu berpakaian `tidak sopan’ ketika acara berlangsung di pusat beli-belah di sini minggu lalu.
Aman Central dalam kenyataan turut memaklumkan, bahawa individu berkenaan adalah tetamu pada acara itu dan bukan model yang memperagakan fesyen.
“Pihak kami kesal dengan perkongsian foto seorang tetamu yang hadir ke KFW22 di mana gambarnya tidak mencerminkan kod etika pemakaian ditetapkan pihak penganjur.
“Pihak kami kesal atas segala kesulitan dan akan memastikan etika pemakaian yang ditetapkan di mana-mana majlis di Aman Central akan dipantau dengan lebih ketat selepas ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, KFW22 adalah acara tahunan di Aman Central dan tidak dianjurkan oleh mana-mana pihak.
“Acara ini dianjurkan setiap tahun bag mempromosikan pakaian dan jenama-jenama di Aman Central, di samping menampilkan pereka-pereka tempatan tanah air untuk mempromosikan pusat beli-belah ini.
“Penganjuran kali ini adalah penampilan semula selepas dua tahun acara dibatalkan pada tahun-tahun sebelumnya akibat negara dilanda pandemik,” katanya.
Tambah kenyataan itu, menganjur turut mendapat kesemua kelulusan pihak berwajib sebelum majlis dijalankan dan acara ini mendapat sambutan menggalakkan.
Semalam, tular di media sosial gambar model wanita berpakaian didakwa tidak sopan pada KFW22 di sebuah pusat beli-belah di sini yang berlangsung tiga hari pada minggu lepas.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, tindakan akan dikenakan ke atas pihak berkenaan jika mereka didapati melanggar peraturan ditetapkan.- UTUSAN