Orang Asli Mendriq, Batek, semangat semarak Hari Kebangsaan - Utusan Malaysia

Orang Asli Mendriq, Batek, semangat semarak Hari Kebangsaan

PENDUDUK Orang Asli suku Mendriq dan Batek mengibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan pada Program Komuniti Sejahtera Kemas di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 500 penduduk Orang Asli suku kaum Mendriq dan Batek Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh gilang-gemilang selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian susulan pandemik Covid-19.

Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail berkata, keterujaan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-65 dapat dilihat apabila seluruh penduduk turun menghadiri sambutan tersebut sebagai menzahirkan semangat cintakan tanah air.

Menurutnya, sambutan menjadi lebih meriah apabila Kampung Pasir Linggi dipilih untuk menjadi tuan rumah kepada sambutan tersebut menerusi Program Komuniti Sejahtera Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

“Selepas dua tahun terkurung akibat pandemik Covid-19, jadi bila dapat mengadakan sambutan Hari Kebangsaan ini perasaan itu bertukar menjadi lebih teruja.

“Penganjuran ini secara tidak langsung dapat membantu penduduk Orang Asli untuk lebih menghayati erti kemerdekaan dan meningkatkan semangat patriotik kepada negara tercinta,” katanya ketika ditemui pada Program Komuniti Sejahtera Kemas di Kampung Pasir Linggi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Arifin yang turut serta program itu, memuji semangat yang ditunjukkan Orang Asli biarpun mereka tinggal di kawasan pedalaman.

Katanya, walaupun negara masih bergelut dengan wabak Covid-19, ia tidak menghalang rakyat untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan melalui sambutan yang diadakan walaupun disambut secara sederhana.

“Penglibatan masyarakat Orang Asli adalah gambaran untuk menyatakan kesyukuran mereka ke atas keamanan yang negara kita. Selain aktiviti mengibar dan menyanyi lagu patriotik, antara program yang dilaksanakan ialah sukan rakyat bersama penduduk kampung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya