SEREMBAN: Seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) masalah pendengaran antara pelajar baharu yang mendaftar dalam Program Tamhidi (Matrikulasi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai dekat sini.
Muhammad Ameir Ghaziuddin Marhalim, 18, antara 770 pelajar baharu program Tamhidi Sesi Akademik 2022/2023 USIM yang mendaftar sejak 9 Ogos lalu.
Dia memaklumkan, mengalami masalah pendengaran dan menggunakan alat bantu pendengaran jenis Phonak Sky V-30 yang dipakai di kedua-dua telinganya.
“Saya hadapi masalah pendengaran sejak berusia 10 tahun dan menggunakan alatan ini untuk mendengar. Cara saya berkomunikasi ialah dengan meminta diulang semula soalan dan pernyataan apabila mahu bercakap.
“Ataupun saya akan memakai dahulu alat tersebut untuk bercakap dengan selesa. Saya hanya risaukan kesalahan maklumat yang diterima orang lain semasa bercakap dengan saya,” katanya ketika ditemui pemberita dalam program Minggu Taaruf (Perkenalan) di USIM, Nilai di sini hari ini.
Muhammad Ameir adalah bekas pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Selangor, Bagan Lalang, Sepang, Selangor itu memaklumkan akan mengikuti Tamhidi Syariah dan Undang-Undang.
“Saya memilih USIM sebagai pilihan kedua dalam bidang syariah dan undang-undang kerana amat meminati subjek tersebut. Saya berhasrat menjadi pegawai syariah suatu hari nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff berkata, kemasukan pelajar bagi program Tamhidi tersebut adalah pertama kali dibuat secara fizikal setelah dua tahun negara berada dalam pandemik Covid-19.
“Sebanyak empat program Tamhidi yang ditawarkan di USIM iaitu Tamhidi Syariah dan Undang-Undang, Tamhidi Perakaunan dan Muamalat, Tamhidi Sains Fizikal dan Teknologi dan Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains,” katanya. – UTUSAN