KOTA BHARU: Seorang lelaki orang kena tahan (OKT) di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bachok, di sini pada pukul 11 pagi semalam.
Difahamkan, sebelum itu lelaki berkenaan bergaduh dengan tahanan lain yang berada di dalam lokap berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pergaduhan itu disedari berlaku oleh pengawal lokap pada pukul 8 malam semasa sedang bertugas.
Menurut beliau, selepas itu pengawal lokap terus memindahkan mangsa yang berusia 32 tahun ke dalam sel lain bagi membolehkan dia duduk seorang diri sekali gus mengelak berlaku pergaduhan lagi.
“Sebelum kejadian, mangsa dikatakan telah menimbulkan masalah kepada OKT lain dengan membuang air kecil dan besar di dalam sel lokap tersebut,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kelantan di sini hari ini.
Kata Zaki, lelaki terbabit ditahan pada 2 Ogos dan disiasat mengikut Seksyen 39B dan 39A(1) Akta Dadah Berbahaya(ADB) 1952.
Zaki memberitahu, sepatutnya lelaki yang mempunyai empat rekod jenayah berkenaan dituduh di Mahkamah Majistret hari ini.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.- UTUSAN