KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengisytiharkan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, isteri baginda dengan gelaran Sultanah Kelantan berkuat kuasa hari ini.
Pengisytiharan itu dibuat Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di Istana Balai Besar, di sini.
Ahmad semasa membaca perutusan itu berkata, pengisytiharan itu dibuat sebagaimana mengikut Fasal (1) Perkara 43 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).
“Pangkat kemuliaan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan ini turut dinamakan di dalam Bahasa Inggeris sebagai ‘Her Highness Sultanah of Kelantan’ dan Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan sebagai ‘Her Highness Che Puan Mahkota of Kelantan,” katanya.
Ahmad memberitahu, baginda turut mengampuni perkenan mengurniakan pangkat kemuliaan Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan ke hadapan Yang Berbahagia Che Puan Sofie Lousie Johansson Petra, isteri kepada Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan.
Katanya, Yang Berbahagia Che Puan Sofie Lousie Johansson Petra akan memakai gelaran Che Puan Mahkota Kelantan.
“Semua kurniaan pangkat kemuliaan ini adalah berkuatkuasa pada hari ini iaitu 4 Muharram 1444 Hijrah bersamaan 2 Ogos 2022,” ujarnya. – UTUSAN