Norizan dilantik SUK baharu Kedah

Norizan dilantik SUK baharu Kedah

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah menyampaikan surat tauliah pelantikan kepada Norizan Khazali sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang baharu di Istana Anak Bukit, Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Datuk Norizan Khazali hari ini dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang baharu, menggantikan Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim yang bersara wajib semalam.

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) sejak 2019 selepas memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir Negeri Kedah pada 1 Disember 1991.

Majlis pengurniaan tauliah pelantikan jawatan itu disempurnakan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balairung Seri Kecil, Istana Anak Bukit di sini.

Turut menyaksikan pengurniaan tauliah itu ialah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Arif dan Tunku Mahkota Kedah, Datuk Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang dan Ammar.

Sementara itu, Norizan berkata, pelantikan itu menjadikan beliau kini menggalas tanggungjawab besar untuk memimpin pentadbiran negeri Kedah khususnya para penjawat awam bagi memastikan perkhidmatan yang cekap, cepat, berintegriti, akauntabiliti dan responsif kepada pelanggan.

“Harapan saya supaya perkhidmatan awam Kedah akan jadi lebih efisien, mesra dan fleksibel yang bermaksud kita kena bantu [pelanggan sama ada individu, pihak swasta atau sesiapa sahaja untuk memudahkan urusan mereka agar rakyat Kedah dapat hidup lebih sejahtera,” katanya.

Norizan yang dilahirkan di Pendang, dekat sini menamatkan pengajian di peringkat ijazah di Universiti Malaya (UM) pada 1990, selain meneruskan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Sains M.Sc (L.A.D) Pentadbiran dan Pembangunan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2006.

Beliau berpengalaman luas dalam pentadbiran tanah selama 17 tahun selepas mula berkhidmat di Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap selain pernah bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah (Tanah) di situ dan Langkawi, Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kuala Muda, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Pendang dan Pentadbir Tanah Daerah Baling.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya