KAJANG: Kenderaan membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di di penjara Kajang, Jalan Sungai Jelok pada pukul 6.05 petang tadi.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu dibawa menaiki kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) jenis Inokom Santa fe berwarna hitam sambil diiringi oleh lima buah motosikal dan tiga kenderaan MPV Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke penjara tersebut.
Difahamkan beliau akan didaftarkan di penjara tersebut dan akan terus menjalani hukuman penjara 12 tahun di sini, mulai hari ini.
Sementara itu, melalui pemerhatian Utusan Malaysia, lima anggota pegawai penjara mengawal ketat dihadapan dan terdapat beberapa anggota PDRM mengawal keadaan.
Sebelum ini, Utusan Online melaporkan pengamal media memenuhi pintu masuk Penjara Sungai Buloh untuk menanti konvoi yang membawa Najib dari Mahkhamah Persekutuan selepas disabit bersalah berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.
Terdahulu panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengekalkan sabitan salah yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Mahkamah turut mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini.
Dengan keputusan itu, di akhir prosiding ini, Najib akan mula menjalani hukuman penjaranya berkuat kuasa hari ini. – UTUSAN