Nahas pesawat: Jadual latihan penerbangan berubah - Utusan Malaysia

Nahas pesawat: Jadual latihan penerbangan berubah

PESAWAT yang terhempas semalam dialih menggunakan kren dari lokasi kejadian di Jalan Raja Dr. Nazrin Shah di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENYIH: Seorang pelatih Bats Aviation Sdn. Bhd. (Bats) sepatutnya menjalani latihan bersama jurulatih penerbangan, Allahyarham Kolonel (B) Fajim Juffa Mustafa Kamal kelmarin.

Namun, Amiruddin Adnan, 23, berkata, latihan berkenaan tidak dilakukan selepas jadual latihannya berubah.

Menurutnya, dia menyertai Bats Aviation Sdn. Bhd. (Bats) sejak Disember 2020 dan dijangka menamatkan latihan bagi Lesen Penerbangan Komersial (CPL) pada Oktober ini.

“Kebiasaanya latihan diadakan lima hari seminggu bermula Isnin hingga Jumaat dan latihan udara dikelolakan Allahyarham dan Ketua Jurulatih, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62.

“Pada hari kejadian jadual latihan diubah namun penerbangan diteruskan oleh Allahyarham dan Muhammad Din Fikri sebagai sebahagian daripada sesi latihan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Kesuma di sini.

Kata Amiruddin, sejak menyertai Bats dia sudah menjalani latihan selama 120 jam bersama dua jurulatih berkenaan termasuk sembilan pelatih lain.

“Saya masih terkejut dan bersedih dengan insiden menimpa arwah. Sebagai individu yang menceburi bidang penerbangan perlu berhadapan apa juga situasi ketika di udara.

“Saya sangat mengagumi arwah kerana beliau seorang jurulatih yang berpengalaman dan berdedikasi ketika bersama pelatih,” jelasnya.

Terdahulu, jenazah jurulatih penerbangan yang terbabit dalam nahas pesawat ringan terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Kesuma di sini kira-kira pukul 6.45 petang semalam.

Jenazah Fajim Juffa tiba di kediaman kakak sulungnya, Datuk Fajura Juffa Mustafa Kamal kira-kira pukul 5.45 petang bagi penghormatan terakhir.

Selepas itu, Allahyarham disembahyangkan di surau Bandar Tasik Kesuma yang disertai lebih 500 jemaah terdiri ahli keluarga, rakan dan jiran terdekat yang kemudiannya mengiringi jenazah ke tanah perkuburan berdekatan.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Operasi Udara TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Shahada Ismail. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya