MRSM Kuantan: Polis sedang lengkapkan siasatan - Ramli - Utusan Malaysia

MRSM Kuantan: Polis sedang lengkapkan siasatan – Ramli

BAJU sekolah yang didakwa digunting menerusi perbuatan khianat dan gengsterisme di MRSM Kuantan di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan membabitkan dakwaan terdapat kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan yang tular di laman sosial Facebook, 12 Ogos lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya perlu mengambil kira pelbagai sudut dan perspektif kes terbabit.

Menurutnya, siasatan turut melibatkan pelbagai pihak termasuk membabitkan bahagian kaunselor daripada pihak polis.

“Pihak polis masih meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut termasuk mengambil kira dan menunggu laporan forensik untuk sisatan lebih mendalam berkaitan dakwaan buli itu.

“Siasatan juga perlu diperkemaskan lagi untuk melihat isu ini termasuk mendapatkan maklumat daripada kaunselor polis sendiri dan sebagainya. Kita akan berusaha melengkapkan kertas siasatan terbabit dalam masa terdekat bagi menyelesaikan kes dengan cepat,” katanya sidang akhbar selepas Mesyuarat Permuafakatan Jabatan Pendidikan Pahang bersama-sama Polis Diraja Malaysia di Sekolah Sukan Pahang di sini hari ini.

RAMLI Mohamed Yoosuf (kiri) bersama warga Jabatan Pendidikan Pahang di Mesyuarat Permuafakatan di Sekolah Sukan Pahang di Kuantan, Pahang. – UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB

Ramli berkata, siasatan awal kes terbabit mendapati ia tidak melibatkan sebarang unsur gengsterisme.

Jelasnya, kegiatan gengsterisme haruslah melibatkan aktiviti berkumpulan di samping isu tersebut mestilah dikenal pasti tidak ada misteri di sebaliknya.

“Selain itu, jika membabitkan gengsterisme di sebaliknya mesti secara fizikal yang melibatkan dua atau tiga orang dalam satu kumpulan. Kita tidak boleh melabelkan ia sebagai gengsterisme kerana tidak ada elemen yang menunjukkan ada unsur tersebut di sekolah berkenaan,” katanya.

Terdahulu, tular di Facebook seorang wanita yang mendakwa tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak pengurusan sekolah MRSM Kuantan berhubung kes buli membabitkan anaknya.

Dalam hantarannya tersebut, ibu mangsa mendakwa wujud perbuatan khianat dan budaya gengsterisme di sekolah itu.

Perkongsian berkaitan baju sekolah anaknya yang diconteng dan rambut digunting ketika sedang tidur mendapat perhatian dan pelbagai reaksi netizen sehingga 22,000 perkongsian dan 10,000 komen.

Pada 13 Ogos lalu, polis mengesahkan menerima dua laporan polis berkaitan kejadian dan setakat ini lima individu telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya