SHAH ALAM: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah digesa melepaskan jawatan secara terhormat ekoran isu moralnya itu disifatkan mencalar imej perkhidmatan awam dengan teruk.
Lebih memburukkan lagi apabila tindakan beliau menyebabkan masyarakat melemparkan persepsi negatif terhadap kakitangan awam sekali gus menjejaskan motivasi mereka untuk teruk berkhidmat.
Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, Mohd. Shafiq tidak lagi layak untuk terus menyandang jawatan itu kerana sudah menjadi liabiliti kepada kerajaan.
“Belum pernah berlaku situasi kakitangan bawahan terpaksa mengkritik secara terbuka terhadap seorang KPPA disebabkan salah laku. Pegawai bawahan juga sudah tidak mampu lagi memendam atau menyembunyikan perbuatan tersebut.
“Isu moral melibatkan beliau yang hangat diperkatakan ketika ini tidak perlu terus merosakkan imej perkhidmatan awam. Ia akan mencacatkan usaha kerajaan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun akan menemui pegawai imigresen yang terbabit dalam insiden dimaki dengan kata-kata kesat oleh Mohd. Shafiq.
Difahamkan, pertemuan itu bertujuan mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kejadian namun tidak dapat dipastikan sama ada Mohd. Shafiq turut akan dipanggil atau tidak.
Isnin lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd . Zuki Ali mengumumkan Peguam Negara mengetuai Jawatankuasa Siasatan yang turut dianggotai Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Jawatankuasa itu ditubuhkan selepas Kabinet mengarahkan menyiasat isu membabitkan Mohd. Shafiq yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen di KLIA berhubung isu pemeriksaan pasport.
Insiden itu menyebabkan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mengeluarkan kenyataan mengutuk insiden berkenaan namun Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan Mohd. Shafiq mengeluarkan kata kesat terhadap pegawai berkenaan. – UTUSAN