KUALA LUMPUR: Pengarah filem Mat Kilau, Syamsul Yusof, meminta pihak Kembara Studio mengambil tindakan sewajarnya dan segera menyelesaikan konflik yang tercetus antara syarikat produksi itu dan pelakon, Datuk Adi Putra.
Kata Syamsul, isu yang timbul antara kedua-dua pihak tidak seharusnya dipanjang-panjangkan dan perlu diselesaikan dengan cara baik.
“Saya percaya Adi bukan seorang yang mudah melenting, apatah lagi menegur syarikat produksi. Mungkin dia sudah berfikir semasak-masaknya sebelum membuat teguran kepada Kembara Studio di media sosial.
“Ada sebab kenapa dia berbuat demikian dan saya amat memahami apa yang dihadapinya.
“Jadi, saya berharap Kembara Studio mengambil perhatian terhadap apa yang diperkatakan Adi dan perbaiki sebarang masalah yang berlaku antara mereka. Kalau boleh isu ini jangan terus dipanjang-panjangkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Adi sebelum ini, meluahkan kekesalannya terhadap Kembara Studio yang tidak memberi respon dan gagal menghubunginya semula selepas berkali-kali dia cuba mendapatkan mereka.
Dalam kenyataan di Instagram itu, Adi juga memaklumkan, dia tidak akan menyertai Kembara Studio dan pelakon lain ke Jakarta , Indonesia bagi mempromosikan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.
Syamsul juga berharap Kembara Studio segera meminta maaf kepada Adi bagi meleraikan isu yang tercetus.
“Kembara Studio masih ‘hijau’ dalam bidang penerbitan filem dan Mat Kilau adalah produksi pertama yang mereka hasilkan.
“Mungkin masih banyak perkara tentang selok-belok penerbitan, selain pengurusan di set penggambaran dan hal ehwal kebajikan pekerja filem yang mereka kurang mahir.
“Harus diingat, kejayaan sesebuah filem itu adalah usaha bersama, baik penerbit, pengarah, pelakon dan kru produksi serta teknikal. Jadi, perkara ini jangan dipanjang-panjangkan dan segera dileraikan supaya semua pihak dapat bergerak ke depan sebagai satu pasukan,” ujarnya.