Mesyuarat UMNO tumpu persiapan hadapi PRU15 - Ahmad

Mesyuarat UMNO tumpu persiapan hadapi PRU15 – Ahmad

DAP
AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Mesyuarat UMNO Cawangan yang akan bermula pada 15 Ogos hingga 18 September ini diminta memfokus terhadap persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat tersebut akan melibatkan sebanyak 22,000 cawangan selain sayap-sayap parti Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Memandangkan tiada sebarang pemilihan parti pada tahun ini, ucapan kepimpinan di peringkat cawangan dan wakil daripada UMNO Bahagian perlu memberikan tumpuan terhadap perkara tersebut.

“Ucap utama Ketua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri dan wakil UMNO Bahagian perlu ke arah kesiapsiagaan bagi menghadapi PRU15 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

“UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada bila-bila sahaja telah bersedia untuk ‘bertempur’ dengan pihak lawan bagi memastikan kemenangan besar dalam PRU15 nanti,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  yang menyatakan PRU15 akan diadakan pada bila-bila masa sekiranya Perikatan Nasional  (PN) menarik sokongan terhadap kerajaan sedia ada.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian ditemui selepas mengadakan program Ziarah Kasih di Kampung Parit Lama, Benut, di sini.

Mesyuarat Majlis Kerja  Tertinggi (MKT) pada 4 Ogos lalu memutuskan bahawa persidangan UMNO Cawangan bermula pada 15 Ogos hingga 18 September, Mesyuarat Perwakilan Bahagian 14, 15 dan 16 Oktober dan Perhimpunan Agung UMNO pada 23 hingga 26 November 2022.

Ahmad berkata, keputusan Jabatan Pendaftaran  Pertubuhan (ROS) yang meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO pada 29 Julai lalu bahawa tiada sebarang pemilihan parti pada tahun ini membolehkan tumpuan diberikan terhadap persiapan menghadapi PRU15. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN