KEMAMAN: Seorang mekanik maut manakala dua rakannya cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 301.9 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Kijal, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 5.40 pagi, Saharuzaman Abd. Wahab, 48, berasal dari Pasir Gudang, Johor yang cedera parah di kepala maut di lokasi kejadian.
Dua rakannya, Kamarulzaman Abu Bakar, 52, yang merupakan seorang pemandu lori pula cedera di badan manakala seorang kelindan lori, Mohamad Afiq Mohd. Noor, 23, dilaporkan kritikal.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan Perodua Axia yang dipandu mangsa dari arah Kijal ke Kuala Terengganu terbabas melanggar penghadang sebelah kanan jalan sebelum berpusing dan berhenti di lorong kiri jalan.
“Kemudian, datang pula sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang jurukimpal bersama isteri dan anaknya, dari arah yang sama, tidak sempat mengelak dan terlanggar kenderaan mangsa sebelum terbalik.
“Bagaimanapun, pemandu Triton dan penumpang terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Hanyan berkata, mangsa yang cedera sedang dirawat di Zon Merah Unit Kecemasan Hospital Kemaman manakala mayat mangsa telah dibawa ke unit forensik hospital sama untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN