Maria Chin peroleh kebenaran cabar prosiding komital -

Maria Chin peroleh kebenaran cabar prosiding komital

MARIA CHIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberi kebenaran kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah untuk memulakan cabaran terhadap prosiding komital yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Syariah di sini.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam keputusannya turut mengeluarkan perintah untuk menggantung hukuman penjara tujuh hari kerana menghina mahkamah dalam kes membabitkan bekas Pengarah Kumpulan Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin dan bekas isterinya, Emilia Hanafi.

Hakim Wan Ahmad Farid ketika membaca penghakiman ringkasnya menyatakan, pemohon (Maria) tidak mencabar mana-mana undang-undang syariah yang tertakluk dalam bidang kuasa mahkamah syariah.

“Pemohon mencabar bidang kuasa mahkamah syariah mengeluarkan perintah membenarkan notis tunjuk sebab dikeluarkan terhadapnya.

“Pada pandangan saya, permohonan untuk semakan kehakiman ini tidak bertentangan dengan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan yang antaranya menyatakan mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa dalam untuk masuk campur bidang kuasa Mahkamah Syariah,”katanya.

Hakim itu truut menyatakan bahawa permohonan semakan kehakiman itu bukanlah sesuatu yang pramatang. Beliau kemudian membenarkan permohonan kebenaran tersebut.

Mahkamah menetapkan 15 September ini untuk pengurusan kes tersebut.

Pada 3 Mac 2021, Maria, 66, memfailkan permohonan semakan kehakiman itu dengan menamakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP) dan Jabatan Kehakiman Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden pertama hingga ketiga.

Dalam permohonan itu, Maria antaranya memohon satu perintah certiorari membatalkan tindakan dan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bertarikh 14 Oktober 2019 yang membenarkan Perintah Kebenaran Pengkomitan dan Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan ke atasnya.

Maria mendakwa pengeluaran perintah dan notis tersebut adalah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta menyalahi Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998).

Wanita itu turut memohon satu perintah certiorari membatalkan tindakan responden ketiga (Jabatan Kehakiman Syariah) untuk membenarkan prosiding pengkomitan terhadapnya atas alasan ia adalah ‘mala fide’ kerana proses permulaan prosiding itu ternyata bercanggah dengan peruntukan undang-undang seperti termaktub dalam Akta 585 dan Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Beliau juga memohon satu perintah mandamus terhadap Zulkifli supaya mengarahkan MAIWP dan Jabatan Kehakiman Syariah untuk tidak mencabuli hak kebenaran asasi pemohon dan mematuhi Peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 4 Disember 2020, Maria diperintah mengemukakan tunjuk sebab mengapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Syariah itu.

Ini berikutan mahkamah berkenaan menolak permohonannya untuk mendapatkan tempoh lanjutan masa bagi mencabar keputusan mahkamah itu membenarkan prosiding menghina mahkamah (komital) dimulakan terhadapnya.

Permohonan untuk memulakan prosiding komital itu dikemukakan oleh seorang ahli perniagaan berikutan Maria mengeluarkan komen dan mengkritik keputusan mahkamah yang memerintahkan hukuman penjara terhadap bekas isterinya.

Pada 25 April 2022, Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadapnya kerana menghina mahkamah. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya