KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk beberapa inisiatif termasuk pemasangan panel sistem solar photovoltaik bagi menjana tenaga elektrik bersih di institusi pendidikannya bernilai kira-kira RM200 juta dalam masa dua tahun.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kerjasama tersebut juga merangkumi pembangunan infrastruktur pengecasan Kenderaan Elektrik (EV) bagi pengendalian dan pengurusan bas MARA Liner.
Katanya, MOU tersebut turut membabitkan penyediaan perkhidmatan telekomunikasi dan akses internet di premis-premis institusi pendidikan MARA.
Tambahnya, kerjasama juga melibatkan pembangunan modal insan dengan sasaran lebih 30 ribu pelajar serta pelatih dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang akan diperkasa di bawah ekosistem MARA dan TNB.
“Kerjasama ini diharapkan dapat menyokong dan memperkukuhkan lagi usaha ke arah kelestarian alam sekitar yang holistik untuk menyumbang dalam pertumbuhan industri dan ekonomi negara.
“Terdapat kerjasama dalam jangka masa pendek dan panjang. Bagai jangka pendek dijangka melibatkan nilai kira-kira RM200 juta dalam masa dua tahun ini.
“Saya yakin berdasarkan pengalaman dan kekuatan yang ada pada kedua-dua agensi ini, skop kerjasama yang telah dipersetujui dapat dilaksanakan sebaik mungkin.” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama MARA dan TNB di Hotel Pullman, Bangsar di sini hari ini.
Perjanjian kerjasama itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.
Sementara itu, skop kerjasama tersebut juga membabitkan program keusahawanan sebagai salah satu pencapaian utamanya.
“Saya berharap akan ada lebih ramai lagi pemain-pemain industri yang akan turut bekerjasama dengan agensi-agensi di bawah kementerian dalam usaha kami menyumbang kepada pertumbuhan industri dan ekonomi negara di samping memperkukuh kelestarian alam sekitar,” ujarnya. – UTUSAN