Mangsa ribut Tanjung Bidara mula pasang atap baharu

Mangsa ribut Tanjung Bidara mula pasang atap baharu

SEORANG penduduk sedang membaiki bumbung rumah yang rosak dilanda ribut di Kampung Pasir Gembur, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka. - FOTO/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Mangsa ribut yang terjejas di Tanjung Bidara, Masjid Tanah dekat sini mula menerima bantuan kepingan zink dan asbestos bagi menggantikan bumbung rumah yang rosak diterbangkan pusaran angin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pasir Gembur, Mohamad Azmi Sabtu berkata, bantuan awal itu mula diagihkan kepada semua mangsa bermula hari ini.

“Tindakan segera ketika ini adalah untuk memperbaiki bumbung rumah yang rosak atau yang diterbangkan angin kerana dibimbangi jika hujan, ia mendatangkan kerosakan yang lebih teruk khususnya barangan dalam rumah.

“Selain bantuan atap rumah, kesemua mangsa membabitkan 70 buah rumah yang rosak telah menerima bantuan setiap keluarga sebanyak RM500 sumbangan peribadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang mula diterima selepas kejadian berlaku semalam.

“Selain itu juga, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) juga telah menyampaikan bantuan RM300 kepada semua mangsa yang terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Difahamkan dalam kejadian pagi semalam, empat kawasan perkampungan terjejas teruk selepas dilanda ribut.

Kawasan yang terlibat adalah Kampung Pasir Gembur, Kampung Air Hitam Pantai, Kampung Air Hitam Darat, Kampung Balik Batu dan sebuah masjid iaitu Masjid Air Hitam Darat.

Tambah Mohamad Azmi, bagi lima buah rumah yang rosak teruk pula, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membantu baik-pulih dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkata, sehingga lewat petang semalam, rumah yang rosak akibat ribut meningkat daripada 56 kepada 70 buah rumah. 

Menurutnya, sewaktu kejadian sebahagian penghuninya keluar bekerja dan tidak mengetahui bawah rumah mereka rosak dilanda ribut, manakala segelintir lagi pula menetap di Kuala Lumpur dan hanya mengetahui selepas dimaklumkan jiran.

“Setakat ini hanya dua daripada empat keluarga melibatkan enam orang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kompleks Falak Al-Khawarizmi.

“Dua keluarga lagi menolak untuk berada di PPS kerana mereka menumpang di rumah saudara mara dan jiran terdekat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya