Majistret nasihat mangsa ‘scammer’ buat laporan polis

Majistret nasihat mangsa ‘scammer’ buat laporan polis, bukan bantu

FOO Seng An (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Rembau hari ini atas pertuduhan gagal memberikan keterangan munasabah berhubung pemilikan wang di dalam akaun bank miliknya. - FOTO/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang tukang besi dinasihati supaya membuat laporan polis sekiranya menjadi mangsa penipuan (scammer) dan bukannya membenarkan ahli sindiket menggunakan akaun perbankannya untuk tujuan salah.

Majistret Kartini Kasran memberikan nasihat itu setelah mendengar rayuan tertuduh, Foo Seng An, 32, yang didakwa dalam kes membabitkan kebenaran penggunaan akaun peribadi bagi kegunaan sindiket pemerasan video bogel.

“Kalau kamu adalah mangsa, tanggungjawab kamu melaporkan kepada pihak polis, kamu sepatutnya menjadi pengadu, bukan benarkan pihak scammer guna akaun, bagi galakan pihak scammer. Kesalahan ini tidak sepatutnya kamu lakukan,” nasihat Kartini di Mahkamah Majistret Rembau, di sini hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng dalam hujahannya berkata, kes berkenaan melibatkan sindiket yang menyasarkan mangsa-mangsa lelaki.

“Apabila gambar-gambar video lucah dirakam, mangsa akan diperas ugut untuk memasukkan wang ke dalam akaun bank. Hasil siasatan polis mendapati tertuduh sebenarnya mangsa sindiket yang diperas ugut dan diberikan pilihan sama ada memberi duit atau membenarkan akaun bank digunakan scammer,” katanya.

Sehubungan itu, Tsu Sheng memohon hukuman maksimum dikenakan sebagai pengajaran kepada masyarakat dan menghapuskan jenayah berkenaan di negara ini.

Terdahulu, Seng An membuat pengakuan bersalah di atas pertuduhan pilihan sebaik dibacakan di hadapan Kartini.

Bagi pertuduhan pilihan, pada 10 Julai lalu, tertuduh telah gagal memberi penjelasan yang memuaskan bagaimana wang sejumlah RM1,500 dari akaun rakan mangsa dijumpai dalam akaun milik tertuduh.

Oleh demikian tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen  29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang jika sabit kesalahan, denda tidak lebih daripada RM1,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut fakta kes, semasa mangsa berada di Taman Gunung Mas, Tampin, Negeri Sembilan, mangsa telah menerima pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp yang memberitahu telah merakam perbuatan onani mangsa dengan niat untuk menyebabkan video tersebut di laman media sosial sekiranya enggan membayar wang sejumlah RM1,500. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya