PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan sebentar tadi memutuskan bahawa Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat tidak perlu menarik diri daripada mendengar dan memutuskan rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Panel lima hakim itu sebulat suara memutuskan demikian atas alasan tidak wujud sebarang elemen berat sebelah yang timbul daripada hantaran yang dibuat oleh suami Hakim Tengku Maimun, empat tahun lalu.
“Hubungan suami isteri tidak boleh dijadikan alasan bahawa ia akan mempengaruhi pertimbangan seseorang hakim. Ketika hantaran Facebook dibuat oleh suami saya, kes ini tidak lagi wujud.
“Pembelaan juga gagal menunjukkan kaitan antara hantaran Facebook itu dengan kes ini sehingga timbulnya bahaya berlakunya keputusan yang berat sebelah,”katanya.
Terdahulu, pihak pembelaan yang diketuai peguam Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan bahawa pihaknya atas arahan Najib telah memfailkan permohonan agar Hakim Tengku Maimun menarik diri atas dakwaan pertimbangan Ketua Hakim Negara itu mungkin dipengaruhi sentimen negatif suaminya, Zamani Ibrahim.
Menurut afidavit sokongan yang difailkan bersama-sama notis usul lewat malam tadi, Najib mengatakan pada 11 Mei 2018, seorang individu bernama Zamani Ibrahim telah membuat satu hantaran di Facebook peribadi miliknya yang mengkritik Ahli Parlimen Pekan itu.
Hantaran Facebook itu hanya diketahui Najib pada 17 Ogos lalu. – UTUSAN