SERDANG: Pengunjung yang hadir ke Laman Kelulut di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 berpeluang untuk merasai sendiri keenakan madu kelulut segar dari koloni lebah tersebut.
Timbalan Pengarah Program Kawalan Biologi, Pusat Penyelidikan Agrobiodiversiti dan Persekitaran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), Dr. Farah Farhanah Haron berkata, pelbagai aktiviti menarik dan menyeronokkan turut menanti pengunjung di Laman Kelulut sepanjang 11 hari berlangsungnya MAHA 2022.
Menurutnya, antara aktiviti tersebut termasuklah klinik pakar kelulut, apipuncture, pameran teknologi kelulut MARDI, demonstrasi penternakan dan pembuatan perangkap kelulut, demonstrasi pembuatan sabun propolis, kuiz, aktiviti ‘green shoot’ dan Tani Warrior, uji rasa madu serta jualan produk.
“Pengunjung perlu datang ke Laman Kelulut kerana di sini ada banyak aktiviti dan kita nak ketengahkan kepada pengunjung bahawa peranan lebah kelulut ini penting untuk diversiti pertanian selain boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan kepada penternak.
“Selain itu, turut memberi informasi kepada pengunjung mengenai kaedah penternakan lebah kelulut yang mapan serta teknologi dan produk berkaitan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Farah Farhanah berkata, terdapat lima spesies lebah kelulut di ternak di laman berkenaan yang terdiri daripada heterotrigona itama, geniotrigona thoracica, tetrogonula laevicpes, tetrogonula geissleri dan tetrigona apicalis.
Jelas beliau, kebiasaannya penternak akan menternak kelulut daripada spesies heterotrigona itama dan geniotrigona thoracica, namun kelulut spesies heterotrigona itama memberikan hasil yang lebih tinggi.
“Setiap satu rumah koloni ini terdapat satu spesies dan pengunjung boleh melihat sendiri perbezaan lebah kelulut tersebut selain madunya turut mempunyai kualiti dan rasa yang berbeza.
“Biasanya kelulut akan mencari sumber makanan dari nektar bunga yang mempunyai buah dan sumber nektar itu terdiri daripada nektar dari bunga, pucuk muda dan serangga.
“Jarak terbangan kelulut pula adalah berdasarkan saiznya iaitu sekitar radius 400 meter bagi spesies heterotrigona itama manakala bagi spesies geniotrigona thoracica sekitar dua kilometer,” jelasnya. – UTUSAN