Lokman bersalah hina mahkamah, diberi amaran terakhir

Lokman bersalah hina mahkamah, diberi amaran terakhir

LOKMAN NOOR ADAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengeluarkan amaran terakhir kepada bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam selepas mendapatinya bersalah menghina mahkamah ketika mengeluarkan perkataan tidak wajar kepada seorang anggota polis bertugas sewaktu prosiding perbicaraan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Jun lalu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas menerima pernyataan maaf tidak bersyarat yang dikemukakan oleh Lokman sambil menasihati beliau supaya tidak mengulanginya pada masa akan datang.

Hakim berkenaan mendapati bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu bersalah dan memaafkannya selepas mengambil kira penjelasan yang dikemukakan kepada mahkamah dan meneliti semua keadaan kes.

“Mahkamah menerima pernyataan maaf tanpa syarat dan tidak akan mengambil tindakan lanjut terhadap kamu,” ujarnya pada prosiding menghina mahkamah terhadap Lokman.

Terdahulu, Lokman ketika memberi penjelasan di hadapan Hakim Collin mengaku mengeluarkan perkataan `bodoh’ sewaktu perbicaraan terhadap Presiden UMNO namun menjelaskan ia tidak ditujukan kepada Lans Koperal Walter Lee Yun Fui yang menegurnya berhubung penggunaan telefon bimbit.

Sebaliknya, beliau mengaku hanya merungut dan meluahkan kekecewaannya kepada seorang rakan yang dikenali sebagai Hafiz yang duduk di sebelahnya dan berpendapat perbuatan itu mengganggu prosiding perbicaraan.

“Pada 30 Jun lalu, saya mencatat perjalanan kes Datuk Seri Zahid menggunakan `notes’ dalam telefon dan ketika itu berada keadaan `mod penerbangan’.

“Walter minta jangan guna telefon dan saya tunjukkan bahawa saya membuat catatan. Namun Walter menyatakan tidak boleh mencatat menggunakan telefon sebaliknya hanya dibenarkan menggunakan komputer riba.

“Selepas Walter pergi, saya luahkan kekecewaan pada Hafiz dan tiada niat untuk kata Walter `bodoh’. Saya tiada niat ganggu prosiding, saya hanya merungut,” ujarnya ketika diminta memberi penjelasan kepada mahkamah.

Sementara itu ketika disoal oleh peguam K. Balaguru yang mewakilinya, Lokman mengaku mengeluarkan perkataan `bodoh’ dalam mahkamah ketika dinasihati Walter agar memadam telefonnya.

Lokman kemudian mengemukakan pernyataan maaf tanpa syarat kepada mahkamah sambil berjanji akan mematuhi peraturan yang ditetapkan ketika mengikuti prosiding perbicaraan.

“Saya juga telah memohon maaf kepada Walter dan memohon agar diberi amaran atas kesalahan itu selain berjanji tidak akan mengulanginya,” ujar Lokman.

Pada 8 Julai lalu, media melaporkan bahawa Lokman memilih untuk dibicarakan dalam prosiding menghina mahkamah berhubung dakwaan mengeluarkan kata-kata tidak wajar terhadap anggota polis dan mempersoalkan sistem mahkamah yang dikatakan tidak adil kepadanya.

Mahkamah diberitahu, Lokman tidak memanggil anggota polis mahkamah itu ‘bodoh’ seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela pada 30 Jun lalu, sebaliknya menyatakan prosedur operasi standard (SOP) mahkamah bodoh kerana bersikap tidak adil kepadanya.

Pada 30 Jun lalu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Lokman agar beliau menjelaskan mengapa tindakan menghina mahkamah tidak boleh dikenakan terhadapnya kerana menghalang tugas anggota polis pada perbicaraan kes Ahmad Zahid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya