SUNGAI PETANI: Tindakan seorang lelaki Myanmar terjun untuk melepaskan jaring yang tersangkut di dasar kolam terbiar, berakhir tragedi apabila dia lemas di Taman Saujana Impian, Semeling pagi ini.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, Zahir Ahmad Musta Ahamed, 49, yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sedang berusaha menaikkan jaring dipasang bersama adiknya, Izar Zulhaq, 43, dan rakan mereka.
Bagaimanapun, dia dikatakan mengalami sesak nafas semasa menaikkan jaring itu dan tenggelam timbul di permukaan kolam sebelum adik dan rakannya menaikkannya ke tebing kolam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian pada pukul 10.03 pagi sebelum ke lokasi bersama sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu.
“Semasa tiba di lokasi, mangsa telah dinaikkan ke tebing oleh adik dan rakan-rakannya serta orang awam. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir ke lokasi,” katanya di sini, hari ini.
Kata Zaidy, mayat terbabit dihantar untuk ujian saringan Covid-19 dan bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Difahamkan, kolam berkeluasan dua padang bola sepak sedalam kira-kira tujuh meter itu dikenali antara lubuk ikan air tawar kerana pelbagai spesies boleh didapati di situ.
Selain menjadi lokasi pemancing, jaring turut digunakan di kolam itu oleh penduduk berhampiran, sementara mangsa dan beberapa rakannya sering menjaring ikan di situ terutama ketika tidak bekerja dan setiap hujung minggu. – UTUSAN