Lelaki campak anak dari jejambat ada masalah mental

Lelaki campak anak dari jejambat ada masalah mental

KERATAN laporan Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lelaki yang mencampak tiga kanak-kanak dari jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berketinggian 20 meter dipercayai mempunyai masalah mental.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki warga Myanmar berusia 38 tahun itu kerap bercakap bersendirian sejak setahun lalu.

Kata beliau, lelaki yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) itu bersikap demikian selepas dirinya sembuh daripada Covid-19.

“Kita mengesan ibu kanak-kanak malang itu yang juga isteri kepada lelaki berkenaan malam tadi.

“Hasil siasatan terhadap isterinya, wanita berusia 28 tahun yang juga pemegang kad UNHCR itu memaklumkan suaminya pernah menyatakan hasrat untuk membunuh diri sebelum ini,” katanya di sini hari ini.

Kata Eng Lai, si isteri hanya mengetahui kehilangan tiga anaknya selepas pulang ke rumah pada pukul 10 malam, hari kejadian.

“Ketika kejadian, wanita berkenaan yang bekerja sebagai pembantu restoran tiada di rumah. Sebaik sahaja dia pulang, dia mendapati kesemua anak dan suaminya tiada.

“Dia cuba menghubungi dan mencari suaminya tetapi gagal. Sehingga pada pukul 5 pagi sebelum kejadian suaminya mengangkat telefon tetapi dia mengatakan mahu bertemu tuhan dan masuk ke syurga sebelum mematikan panggilan,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata Eng Lai, lokasi kejadian terletak tiga kilometer di kawasan rumah mereka.

Ditanya mengenai keadaan seorang lagi kanak-kanak yang terselamat, Eng Lai menjelaskan, mangsa masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur memandangkan kecederaan serius di badannya.

“Kanak-kanak berkenaan merupakan anak bongsu kepada pasangan itu. Dua anaknya merupakan pemegang kad UNHCR namun anak bongsu mereka masih di dalam proses mendapatkan dokumen berkenaan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi kemlarin, dua kanak-kanak maut manakala seorang lagi parah selepas dicampak lelaki warga Myanmar.

Susulan tindakan itu, lelaki berkenaan kemudian turut terjun dari jajambat sama sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Berdasarkan kenyataan saksi, lelaki berusia 38 tahun terbabit dilihat berjalan sambil mengendong seorang kanak-kanak, manakala dua lagi kanak-kanak dipegang di tangan kanan dan kirinya.

Saksi kemudiannya cuba menghampiri lelaki berkenaan namun secara tiba-tiba lelaki itu terus mencampakkan kanak-kanak yang dikendong dan dipimpinnya dari jejambat MRR2.

Kesemua mangsa ditemukan terbaring di tepi jalan raya berhampiran lampu isyarat di Desa Jaya.

Lelaki dan dua orang kanak-kanak Myanmar berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang kanak-kanak yang parah dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan memandangkan keadaan mangsa yang sangat kritikal.

Hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan dalaman di perut dan juga keretakan pada rusuk kiri mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya