SHAH ALAM: Lebih sebulan UMNO dan Pas di negeri ini tidak mengadakan pertemuan rasmi untuk membincangkan kerjasama mereka dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) menguatkan lagi jangkaan Barisan Nasional (BN) akan bergerak solo untuk menghadapi PRU-15 nanti.
Bagaimanapun, kepimpinan kedua-dua parti itu tidak menunjukkan tanda-tanda bermusuhan, sebaliknya mereka memaklumkan ketika ini mematuhi arahan daripada pimpinan tertinggi untuk memberi tumpuan kepada parti masing-masing.
Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, partinya di negeri ini memegang keputusan daripada kepimpinan pusat supaya kekal dengan keputusan ‘penyatuan ummah’ bersama UMNO dan juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Perbincangan (resolusi) antara Pas dan UMNO di Selangor masih berjalan walaupun lebih sebulan tidak bermesyuarat. Tetapi, (Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor) Tan Sri Noh Omar masih positif dengan penyatuan ummah di negeri ini.
“UMNO dan kita masih bersedia untuk menghadapi PRU nanti. Pas Selangor kekal dengan keputusan Pas Pusat penyatuan ummah bersama UMNO dan bersatu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Setiausaha Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Kamaruzzaman Johari menjelaskan, kedudukan kerjasama antara UMNO dan Pas di negeri ini berada dalam ‘status quo’, namun mengutamakan arahan daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Menurutnya, bagaimanapun keputusan daripada MKT yang memperlihatkan arah tuju BN Selangor bergerak secara solo menyebabkan konsep penyatuan ummah dengan Pas kelihatan tergantung.
“Betul, kita (BN) Selangor memang sentiasa terbuka, kita pun memang hendak ke arah itu, tetapi keputusan di peringkat MKT adalah sebaliknya. Itu yang dari dulu kita tersangkut. Kita tak mahu dilihat berlawanan dengan keputusan daripada MKT.
“Jadi, setakat ini memang kita rasakan itulah di antara keputusan yang kita buat untuk menang di Selangor. Kita tak mahu bertentangan dengan keputusan MKT, sebab itu kita pun, yalah.. kadang-kadang kita buat juga macam ada program bersama, jemputan-jemputan mesyuarat, kita datang,” jelasnya. – UTUSAN