KUALA KRAU: Persiapan menyambut ulang tahun hari kemerdekaam ke-65 di Felda Wilayah Jengka di sini semakin meriah apabila peneroka memulakan kerja-kerja gotong royong menghias tanah rancangan itu dengan kibaran ratusan ribu Jalur Gemilang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Biro Sosial dan Kemasyarakatan Gabungan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan Wilayah Jengka (JKKR), Razak Daud berkata, mereka berlumba-lumba menjayakan sambutan sambutan tahun ini.
Menurutnya, dianggarkan lebih 300,000 Jalur Gemilang berkibar dan menghias laman dan premis kediaman, perniagaan dan bangunan awam di Felda Wilayah Jengka.
“Pada sambutan bulan kemerdekaan tahun lalu, setiap rancangan mengibarkan purata 6,000 Jalur Gemilang tetapi tahun ini ia dijangka meningkat kepada 10,000 Jalur Gemilang di setiap rancangan.
“Warga Felda bertambah. bersemangat apabila Pejabat Felda Wilayah Jengka memberi habuan kepada keluarga peneroka dan rancangan yang mempamerkan kreativiti berasaskan tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama’,” katanya di sini semalam.
Razak berkata, pemasangan Jalur Gemilang itu merupakan inisiatif penduduk membuat persiapan mengikut blok di tanah rancangan masing-masing. -UTUSAN