ISKANDAR PUTERI : Seramai 1,188 anak yatim yang kematian ibu bapa disebabkan Covid-19 dibantu menerusi program Anak Johor Prihatin yang dilaksanakan sejak awal tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT), Nurul Naqiah Fadzil berkata, hingga kini sebanyak RM1.5 juta sudah dibelanjakan untuk kebajikan anak angkat itu.
Katanya, inisiatif di bawah Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ) bagi menyantuni anak-anak yatim itu dalam memastikan hal kebajikan, pendidikan dan kesihatan emosi mereka dijaga sehingga berusia 21 tahun.
“Kesemua anak angkat ini diberikan bantuan simpanan pendidikan, perlindungan insurans berharga RM200,000 setahun selain menerima wang tunai RM1,200 setahun.
“Ini adalah usaha kerajaan negeri untuk membantu mengubati kesedihan anak yatim ini yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 demi masa depan mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Anak Johor Prihatin yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Legoland, di sini hari ini.
Seramai 91 anak yatim dari sekitar daerah ini diraikan dan dibawa berhibur di Legoland sebagai sokongan moral kepada mereka.
Pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan pihak sekolah bagi mengesan pelajar yang mengalami situasi sama untuk diberikan bantuan itu.
“Kita percaya jumlah anak yatim ini akan terus meningkat. Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk menambah peruntukan sekiranya bilangan permohonan meningkat dalam usaha membimbing anak-anak ini dari aspek bebanan emosi yang dipikul,” katanya. –UTUSAN