PETALING JAYA: Selepas desas-desus kononnya pelakon, Laudya Cynthia Bella sudah bergelar isteri kepada seorang lelaki Dubai, kini dia mengumumkan pula persaraannya daripada dunia seni.
Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada pihak media di Indonesia, Laudya memaklumkan dia sudah lama merancang untuk bersara daripada dunia seni dan memohon peminat terus mendoakan agar dia berjaya dalam kehidupan.
“Doakan saya. Insya-Allah, tiada filem lagi selepas ini. Semoga istiqamah dan filem terakhir saya adalah Buya Hamka.
“Memang saya sudah pasang niat, tetapi manusia itu lemah. Semoga Allah membantu.
“Saya ingin berjaya di dunia dan akhirat. Masih banyak yang perlu saya pelajari dan lalui selepas ini,” katanya memetik laporan Liputan 6.
Pelakon yang cukup popular dengan siri filem Surga Yang Tak Dirindukan ini pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan dan selebriti Malaysia, Engku Emran pada September 2017 tetapi bercerai pada Julai 2020.
Pengurus kepada Laudya sebelum ini dalam satu kenyataan menafikan dakwaan kononnya pelakon itu sudah bernikah sekali lagi selepas sebuah video tular di media sosial, baru-baru ini.