PETALING JAYA: Laporan penuh Jawatankuasa Khas Siasatan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim siap sepenuhnya dan dijangka dibentangkan kepada jemaah menteri pada bulan depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, laporan itu diterima semalam selepas proses siasatan dilakukan sejak 21 Disember tahun lalu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan itu berkata, laporan berkenaan disiapkan dalam tempoh ditetapkan iaitu sebelum hari ini.
“Adalah menjadi harapan kerajaan agar laporan ini dapat menjawab persoalan orang ramai berhubung insiden itu.
“Kerajaan juga berharap agar laporan ini dapat dijadikan panduan bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang pada masa depan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 9 Oktober tahun lalu, kerajaan memutus mewujudkan sebuah jawatan kuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian Muhammad Adib.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jawatan kuasa yang turut dianggotai Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta peguam negara itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham mendapat keadilan.

Wan Junaidi berkata, penyediaan laporan itu mengambil kira pelbagai perspektif dan pandangan daripada pakar-pakar yang dilantik di samping wakil kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.
Katanya, Jawatankuasa Khas itu juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengenal pasti punca kematian termasuk sesi temu bual saksi-saksi kes, penelitian dokumen-dokumen siasatan di War Room Jawatankuasa yang diadakan hampir setiap minggu.
Selain itu, menurutnya, sesi rekonstruksi kejadian juga diadakan dengan semua agensi berkaitan bagi membuat simulasi kejadian berdasarkan kepada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), video dan keterangan daripada saksi-saksi kejadian. – UTUSAN