Laluan Jejak Mat Kilau dipopularkan semula

Laluan Jejak Mat Kilau dipopularkan semula

SEBAHAGIAN ahli Penggerak yang menyertai ekspedisi laluan Jejak Mat Kilau dari Kampung Bantal di Ulu Tembeling Jerantut, Pahang ke Kampung Pasir Raja di Hulu Dungun, Terengganu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Persatuan Penggerak Rekreasi Terengganu (Penggerak) akan mempopularkan semula laluan Jejak Mat Kilau dari Kampung Bantal di Ulu Tembeling Jerantut, Pahang ke Kampung Pasir Raja di Hulu Dungun dekat sini.

Pengerusi Penggerak, Syed Mohd. Yasni Syed Yassin berkata, ekspedisi laluan asal Mat Kilau berkonsepkan sejarah dan sukan ekstrem itu melibatkan jarak sejauh kira-kira 70 kilometer dan perjalanan mengambil masa selama dua hari.

Menurutnya, laluan tersebut mencabar ketahanan mental dan fizikal peserta serta mempunyai potensi besar untuk menarik kedatangan pelancong  ke Terengganu dan Pahang,.

Katanya,  ekspedisi itu juga dapat membantu kerajaan dalam merangka pembangunan dan  nilai tambah eko pelancongan serta meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk setempat.

“Permintaan terhadap aktiviti rekreasi mendaki gunung, menjelajah denai hutan dan menyusuri sungai yang mencabar semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

“Oleh itu, langkah kerajaan untuk memulihara semula tinggalan sejarah ini sangat tepat kerana ia juga adalah destinasi flora dan fauna yang unik untuk pencinta alam semula jadi di negara ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Syed Mohd. Yasni memberitahu, Penggerak juga telah mengadakan satu ekspedisi laluan Jejak Mat Kilau itu bersama sekumpulan peminat sukan lasak dan ekstrem dari Terengganu dan Pahang, baru-baru ini.

“Ekspedisi hari pertama dimulakan dari Kampung Bantal dengan menaiki bot selama tiga jam ke Kuala Lurut, kemudian berjalan kaki mengharungi beberapa sungai yang mengambil masa empat jam sebelum sampai ke tapak perkhemahan di Pokok Durian untuk bermalam.

“Hari kedua pula, peserta ekspedisi melalui denai hutan dan laluan haiwan rimba untuk menuju ke beberapa checkpoint iaitu Sungai Kemala, Bukit, Pecah Pinggang, Bukit Mandi Angin, Lata Keling dan Lata Kundang sebelum dibawa menaiki kereta pacuan empat roda untuk tiba ke Pasir Raja,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, Terengganu sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri Pahang untuk mempopularkan semula laluan asal Jejak Mat Kilau tersebut sebagai khazanah berharga negara.

“Laluan ini dapat mengembalikan semula semangat perjuangan dan jejak  tinggalan sejarah pahlawan terbilang itu bersama sahabatnya yang lain dalam menentang penjajahan British di Tanah Melayu.

“Selain itu, saya juga akan mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri Pahang untuk menambah baik beberapa kemudahan agar peserta dapat menggunakannya sepanjang ekspedisi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya