PORT DICKSON: Lokasi bersejarah, Kota Lukut di Lukut dekat sini memerlukan ‘nafas’ baharu dalam usaha menarik kehadiran pengunjung ke lokasi tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa berkata, selain tarikan tinggalan sejarahnya seperti runtuhan tapak istana dan tembok susunan batu, Kota Lukut dilihat memerlukan mercu tanda baharu sebagai satu lagi daya tarikan pelancong.
“Saya berpandangan, Kota Lukut memerlukan satu binaan mercu tanda yang menjadi tempat untuk orang ramai merakam gambar kenang-kenangan mereka.
“Perkara ini telah saya usulkan kepada Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan juga Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson untuk melihat kesesuaiannya sebagai satu lagi usaha menarik pengunjung ke Kota Lukut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, mengulas mengenai isu Kota Lukut yang dilaporkan berada dalam keadaan terbiar dan tidak terjaga, Ken Hwa berkata, ia akan diselesaikan selepas kontraktor pembersihan dan penyelenggaraan yang dilantik dijangka memulakan tugas pada bulan depan.
Beliau berkata, tindakan segera juga diambil oleh pihak Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) bersama beberapa pihak lain yang telah menjalankan kerja-kerja pembersihan di lokasi berkenaan.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan salah satu produk pelancongan di daerah ini iaitu Kota Lukut berada dalam keadaan terbiar dan dipenuhi semak serta lalang.
Hasil tinjauan ke kota yang dibina oleh Raja Jumaat Raja Jaafar pada 1847 itu mendapati keadaan sekitarnya terabai dengan rumput-rumput kering dan dahan pokok mati juga dibiarkan tanpa dibersihkan.
Tinggalan sejarahnya seperti runtuhan tapak istana Raja Wok, tinggalan tembok susunan batu, kolah air dan perigi raja juga tidak terjaga dan ditutupi dengan rumput dan lalang yang tumbuh meliar. –UTUSAN