PUTRAJAYA: Hanya wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang membantah penganjuran konsert artis barat dalam sesi mesyuarat bersama pelbagai agensi baru-baru ini.
Perkara tersebut didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad sebagai mengulas mengapa program sedemikian masih diluluskan kerajaan.
“Saya difahamkan cuma wakil Jakim yang menentang keras, tetapi 15 lagi agensi lain sokong acara berkenaan diteruskan,” katanya ketika selepas menyertai program Hijrah Merdeka anjuran Jakim bersama hampir 3,000 jemaah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini sempena Ambang Merdeka 2022.
Isu itu menjadi kontroversi susulan konsert penyanyi wanita popular dari Amerika Syarikat, Billie Eilish pada 18 Ogos lalu yang dibantah kuat umat Islam di negara ini.
Ramai pihak termasuk Gerakan Belia 4B Kebangsaan menyelar Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar (Puspal) kerana mengizinkan acara itu meskipun dia dikenali sebagai penyokong rejim Israel dan gerakan songsang LGBT.
Mengulas lanjut, Idris menafikan Jakim berdiam diri malah agensi itu menjadikan satu-satunya yang paling lantang menolak kelulusan permohonan artis tersebut dalam mesyuarat Puspal.
“Kami sudah pun cuba yang terbaik sejak dari awal lagi demi kepentingan umat Islam kerana ia tidak memenuhi piawaian garis panduan hiburan ditetapkan Jakim sendiri,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menyangkal dakwaan segelintir pihak terutama bukan Islam yang menyatakan kononnya agensi tersebut sebagai anti kepada seni hiburan dan nyanyian artis luar.
Katanya, Jakim tiada masalah jika persembahan itu menepati garis panduan seperti penyanyi Maher Zain atau Opick yang pernah mengadakan siri jelajah konsert di seluruh negara. – UTUSAN