KUANTAN: Seorang bekas wartawan yang menggelarkan dirinya wartawan tua terharu dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi Gerakan Tanah Air (GTA) yang diumumkan Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kelmarin.
Wartawan tua itu, Khaidir Ahmad berkata, pelantikan ini penghormatan dan pengiktirafan kepada peranan golongan penulis dan wartawan dalam pembentukan sebuah negara yang adil.
Beliau berkata, ia termasuk dari sudut agihan kemakmuran kepada rakyat, khususnya bangsa pribumi serta sebuah negara yang bebas daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Ia juga satu penghormatan dan pengiktirafan kepada peranan golongan aktivis alam sekitar dan aktivis rakyat marhaen supaya Malaysia menjadi sebuah negara lestari, sejahtera dan harmoni untuk kehidupan rakyat pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.
“Dengan izin Allah SWT, saya akan memikul amanah dan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya demi agama, bangsa dan tanahair ke arah merealisasikan “Malaysia Baharu Tanpa Rasuah” dengan agihan kemakmuran negara yang lebih adil kepada segenap lapisan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
GTA dilancarkan secara rasmi kelmarin dengan disertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).
Gagasan itu berhasrat bertanding di 120 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Mahathir dilaporkan berkata, gerakan itu akan fokus untuk bertanding di semua kerusi majoriti Melayu dan kerusi yang ditandingi UMNO khususnya di Semenanjung Malaysia.-UTUSAN