KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan hari ini menarik balik surat yang dihantar kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah agar mengutamakan perbicaraan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melebihi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob yang turut menganggotai pasukan pendakwaan kes Ahmad Zahid memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau menarik balik surat yang dihantar semalam.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan isu tersebut dianggap selesai dan memohon prosiding hari ini diteruskan dengan mendengar keterangan bela diri Ahmad Zahid.
Hakim Collin kemudian memberi maklum balas bahawa perbicaraan itu akan diteruskan mengikut tarikh yang telah ditetapkan dan tiada pihak yang boleh mengarahkan mahkamah untuk mengutamakan mana-mana kes yang sedang dibicarakan.
Abdul Malik membangkitkan perkara tersebut sebaik sahaja mahkamah bersidang bagi mendengar perbicaraan Ahmad Zahid terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Collin merupakan hakim sama yang mendengar perbicaraan kes Najib yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya selaku Perdana Menteri dengan menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Perbicaraan terhadap Ahmad Zahid kini di peringkat pembelaan manakala kes Najib masih di peringkat pendakwaan.
Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mengetuai pasukan pembelaan berpendirian, surat yang dihantar itu boleh dilihat seperti memberikan tekanan kepada mahkamah.
“Kami berharap perbicaraan akan dikendalikan mengikut landasan undang-undang,” ujar Hisyam.
Surat berkenaan yang ditandatangani sendiri oleh Abdul Malik dihantar kepada Setiausaha Hakim Collin antara lain memohon kes yang kini di peringkat pembelaan diselesaikan dengan segera.
Surat itu kemudian tular di laman sosial melalui ciapan sebuah akaun Twitter yang mempersoal tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan surat itu bagi mempercepatkan perbicaraan Ahmad Zahid mengatasi kes 1MDB.
“Peguam Negara – sila kimen (komen) surat ini!,” demikian menurut ciapan tersebut.
Ciapan itu kemudian diulang ciap oleh pemilik akaun Twitter lain yang antara lain menyokong perbicaraan dipercepatkan dan diberi keutamaan kerana kes itu melibatkan kepentingan awam.
Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.
Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.
Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.
Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN