SERDANG: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya membuktikan pelaksanaan amalan integriti dalam pentadbiran di peringkat Persekutuan dan negeri walaupun dalam tempoh yang singkat.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, malah PN melalui menteri-menteri besar dan Kabinet berjaya melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang berbanding para pemimpin kerajaan sebelum ini.
“Walaupun tiada manifesto, tiada janji, kita berusaha selamatkan negara, selamatkan ketirisan, salah laku dalam masa singkat.
“Tiada ketirisan, membina integriti, tetapi terpulang kepada rakyat (untuk nilai) dan penting kita menang Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen PN di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi merangkap Timbalan Pengerusi PN sekali lagi menegaskan, kerajaan Pusat yang ditubuhkan selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) wujud secara demokratik dan bukannya secara pintu belakang.
Jelasnya, PN bersama parti-parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) bersama-sama membentuk kerajaan dengan sah dengan mengumpul ahli-ahli Parlimen.
“Ketidakmampuan dan kelemahan PH, bantuan-bantuan tidak sampai kepada rakyat, bermacam-macam hal berlaku.
“Kita ambil alih dalam keadaan mencabar, dalam wabak Covid-19, namun tiada darah yang tumpah, tiada demonstrasi, tiada krisis,” ujar beliau.
Menurut beliau, kejatuhan BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana kemarahan rakyat dan kemudiannya mereka memilih PH.
Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, PH terlalu gopoh mentadbir kerajaan sekali gus menjadi punca kejatuhan mereka selepas tempoh 22 bulan.
Meskipun ramai memperlekeh PN, Ahli Parlimen Marang itu berkata, pihaknya berjaya mentadbir negara ini sepanjang tempoh amat mencabar selepas Mac 2020.
“Oleh itu, kita perlu sebuah kerajaan yang kuat dan gagah dalam PRU15, menolak peristiwa lama dan menolak kegagalan serta menekankan aspek integriti,” katanya. – UTUSAN