Kerajaan lonjak transformasi pendidikan Orang Asli - Utusan Malaysia

Kerajaan lonjak transformasi pendidikan Orang Asli

RADZI Jidin (dua dari kiri) bersama murid dan guru Sekolah Kebangsaan Pos Piah, Sungai Siput pada Program Sekolahku Sejahtera: Didik Inklusif Memperkasa Pendidikan Orang Asli dan Pribumi di Pusat Komersial Orang Asli Sungai Siput kelmarin. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Kementerian Pendidikan komited untuk memastikan pendidikan dalam kalangan pelajar Orang Asli di negara ini terus dilonjakkan dengan sokongan dan kerjasama daripada pemimpin dan komuniti itu sendiri.

Untuk itu pihak kementerian turun padang memberikan penjelasan kepada pemimpin masyarakat, ibu bapa guru dan pentadbir dalam kawasan Orang Asli mengenai dasar-dasar pendidikan negara agar kaum pribumi itu memahami pendidikan untuk Orang Asli tidak dipinggirkan.

Ini dilaksanakan menerusi Program Sekolahku Sejahtera: Didik Inklusif Memperkasa Pendidikan Orang Asli dan Pribumi di Pusat Komersial Orang Asli Sungai Siput di sini kelmarin yang dihadiri Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.

Semasa sesi wacana pendidikan pada program itu, Radzi berkongsi dan menjelaskan tentang dasar-dasar kementerian dan transformasi yang telah, sedang dan akan dilaksanakan untuk masyarakat Orang Asli.

Menurut Radzi, kerajaan mahu seluruh masyarakat Orang Asli memahami komitmen kementerian dalam melaksanakan pelbagai usaha untuk golongan itu.

“Dalam kita bercakap tentang transformasi pendidikan, seluruh anak-anak kita di seluruh negara akan dibawa bersama, tidak ada yang ketinggalan termasuk dalam masyarakat Orang Asli,” katanya.

Menurutnya, pada sesi itu juga beliau membuka kepada cadangan dan pertanyaan daripada peserta yang hadir untuk kerajaan melihat pelbagai perkara berkaitan seperti infrastruktur pendidikan, kemahiran murid dalam membaca menulis dan mengira.

Katanya, ada beberapa perkara yang telah disentuh pada sesi forum itu iaitu berkaitan guru dan kementerian akan terus turun ke bawah untuk mendapatkan maklumat dan pandangan daripada semua pihak.

“Ini untuk memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah dalam rangka hala tuju pendidikan itu sendiri, khususnya dalam konteks masyarakat Orang Asli ini kita turun dan kita dengar dan ambil pandangan yang diberikan.

“Perkara yang paling penting dalam konteks kita membentuk satu transformasi pendidikan yang menyeluruh, adalah penting untuk semua pihak bersama kita memahami pendidikan hari ini kita telah letakkan ke satu asas yang betul.

“Untuk tempoh dua tahun setengah lepas (semasa wabak Covid-19), walaupun tempoh yang sukar, banyak transformasi yang telah kita laksanakan dan kita letakkannya atas asas yang betul dan terus tolak dan lonjak ke hadapan,” katanya.

Program selama tiga hari itu dilaksanakan dengan objektif membina jaringan dan jalinan dengan masyarakat Orang Asli setempat, membina ukhuwah persaudaraan yang utuh dalam membentuk kesejahteraan sosial dan memberikan kesedaran dan kefahaman berkenaan hala tuju pendidikan negara.

Selain itu, program itu juga memberikan khidmat bantu pendidikan kepada ibu bapa, guru dan murid-murid Orang Asli dan menyampaikan input dan bertukar pandangan berkaitan hala tuju transformasi Pendidikan Negara berkaitan masyarakat Orang Asli.

Sasaran program itu ialah menumpukan usaha kepada pembangunan berterusan yang melibatkan peranan semua pihak sebagai agen penyampaian dalam sistem pendidikan dan sekolah sebagai institusi sosial yang terbina hasil daripada permuafakatan pembentukan ekosistem masyarakat yang membentuk jaringan dan jalinan.

Melalui pelaksanaan aktiviti yang dijalankan pada program itu, semua pemegang taruh dapat memberikan pandangan, pelibatan secara aktif dalam setiap program yang dijalankan manakala aktiviti yang dijalankan secara menyeluruh melibatkan pelibatan pelbagai pihak yang merupakan teras kepada pembangunan sesebuah sekolah.

Melalui program yang dijalankan itu, pendekatan secara induktif iaitu menyantuni masyarakat Orang Asli melalui program ramah mesra yang dikendalikan oleh guru pelatih ambilan khas Pribumi di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang.

Pada program itu juga, latihan dalam perkhidmatan kepada guru-guru dikendalikan oleh para pensyarah IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan selain bengkel robotik dikendalikan oleh Sejahtera Centre for Sustainability and Humanity, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya