KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abd. Samad akan mengetahui Jumaat ini sama ada mereka dibebaskan atau dipanggil membela diri terhadap pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual.
Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob menetapkan lusa bagi keputusan selepas selesai mendengar hujahan pihak pendakwaan dan peguam yang mewakili Bung Moktar dan Zizie pada 24 Jun lalu.
Mahkamah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan serta penghujahan kedua-dua belah pihak sebelum menyimpulkan sama ada wujud kes prima facie terhadap tertuduh pertama dan kedua.
Pihak pendakwaan menghujahkan, walaupun Zizie cuba berdolak dalih dengan menyatakan wang suapan diterima bagi semua transaksi adalah bayaran pengenalan atas dasar sukarela, namun keterangan itu lemah dan tidak masuk akal.
“Adalah mustahil saksi ke-24 dan ke-25 pendakwaan (SP24 dan SP25) iaitu ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 43, dan perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, sanggup membayar RM2.8 juta secara keseluruhan kepada Zizie, di mana jumlah itu adalah separuh daripada jumlah kadar komisyen yang diterima.
“Walaupun SP25 berkata jumlah yang besar adalah strategi pemasaran dalam memasarkan produk unit amanah, namun ia adalah tidak munasabah dan tidak masuk akal kerana membayar lebih separuh keuntungan dikaut atas usaha sendiri kepada orang tengah atau ejen yang memperkenalkan bakal pelanggan,” hujah pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How berhujah, keterangan SP25 yang menyatakan RM2.8 juta adalah bayaran pengenalan untuk tertuduh kedua adalah strategi perniagaan, namun ia tidak sepatutnya boleh diterima oleh mahkamah menurut Seksyen 57 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tambahnya, Zizie memainkan peranan aktif dari awal hingga akhir bagi ketiga-tiga transaksi, maka unsur persubahatan berjaya dibuktikan ke atasnya iaitu membantu Bung Moktar selaku Pengerusi Felcra Berhad yang berpengaruh, memperoleh wang suapan.
“Zizie tahu Bung Moktar adalah ahli politik terkenal dan Pengerusi Felcra Berhad namun tertuduh tetap memperkenalkan SP25 kepada suaminya dan akhirnya menerima kononnya bayaran pengenalan sebanyak RM2.8 juta untuk diri sendiri,” hujah pendakwaan.
Sementara itu, peguam M Athimulan yang mewakili Bung Moktar, berhujah keterangan SP24 dan 25 tidak menyebut apa-apa berhubung pemberian suapan kepada anak guamnya menerusi tertuduh kedua.
Katanya, tiada bukti daripada mereka suapan pergi kepada tertuduh pertama dan suapan itu diberikan oleh Zizie kepada Bung Moktar.
Bung Moktar, 64, didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – UTUSAN