KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 11 Ogos ini untuk keputusan permohonan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli membatalkan pertuduhan rasuah terhadapnya.
Keputusan itu akan menentukan sama ada beliau dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan, empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak pembelaaan dan pendakwa raya hari ini.
Terdahulu, peguam bela tertuduh, Muhammad Rafique Rashid Ali dalam penghujahannya berkata, pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dikenakan terhadap Ketua Whip Parti Warisan (Warisan) itu berunsur politik, berniat jahat (mala fide), menindas dan tidak berasas dari segi fakta dan perundangan.
“Rozman tidak mempunyai hubung kait atau penglibatan langsung atau tidak langsung dalam keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah Pelabuhan Labuan (LPL) berkenaan syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. (LLPM) sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan.
“Tidak wujud elemen berkaitan kepada pertuduhan di bawah seksyen sama atau pemohon tidak pernah mempengaruhi sebarang keputusan Lembaga Pengarah LPL terhadap syarikat LLPM,” katanya hari ini.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Feisal Mohd. Azmi dalam penghujahannya pula berkata, pertuduhan dikenakan terhadap pemohon adalah terang dan jelas.
Katanya, Rozman telah menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan untuk mendapatkan kontrak bagi syarikat LLPM yang mana pada ketika itu bapa dan adik tertuduh mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.
“Tiada bukti pertuduhan dikenakan terhadap pemohon berniat jahat melainkan pertuduhan berdasarkan bukti dan bukan bermotifkan politik,” katanya.
Pada 14 Oktober 2021, Rozman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes Rozman dijadualkan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob pada 11 dan 12 Ogos ini. – UTUSAN